Thursday, September 25, 2008

Pandangan Sasterawan Negara Terhadap Tokoh Melayu PKM

Saya tidak segera membeli buku biografi Usman Awang yang bertajuk Seorang Penyair, Sebuah Dunia Rusuh: Biografi Usman Awang, yang terbit pada tahun 2006, terutama kerana harganya agak mahal (RM 60.00). Saya ingin membaca lebih dahulu ulasan atau tinjaun tentang buku tersebut, jika ada.

Akan tetapi, sehingga pertengahan tahun 2008 saya tidak menemui sebarang ulasan atau tinjaun tentang buku tersebut, kerana di negara ini memang kurang sekali penulis yang membuat tinjaun buku. Jadi pada bulan Julai 2008 saya membeli buku tersebut dengan memesan terus kepada pengedarnya. Saya bernasib baik kerana diberi potongan 20% dan dapat membeli buku tersebut dengan harga RM48.00 sahaja.

Saya baru saja membaca buku yang ditulis oleh sasterawan negara, Muhammad Haji Salleh itu mulai pertengahan bulan September 2008. Saya tidak sangka buah tangan sasterawan negara yang juga seorang penyajak ini begitu menarik dan mengasyikkan. Saya tidak berhenti membacanya sehingga tamat.

Saya tidak sangka juga, apabila sampai di muka surat 99-100, saya menjumpai pandangan Muhammad Haji Salleh yang menarik tentang Parti Komunis Malaya (PKM). Mengikut beliau:

" Dalam Parti Komunis juga terdapat golongan idealis yang mahu merdeka daripada penjajahan British dan sebelum itu penjajahan Jepun. Mereka mempunyai ideologi sendiri. Di samping itu, ada juga orang Melayu yang benar-benar jujur dalam perjuangan yang memegang jawatan penting dalam parti itu".

Siapakah "orang Melayu" yang berkenaan? Beliau tidak menyebut namanya. Akan tetapi, tokoh Melayu dalam PKM sebenarnya tidak ramai. Antara mereka termasuklah Rashid Maidin, Abdullah C.D. , Musa Ahmad, Wahi Anuar dan Shamsiah Fakeh.

Walaupun Muhammad Haji Salleh tentunya membuat kenyataan itu secara sambil lalu sahaja, kerana beliau menulis tentang seorang sasterawan negara, dan bukan tentang tokoh PKM, tetapi saya tertarik dengan kejujuran beliau kerana mengiktiraf peranan dan perjuangan tokoh-tokoh Melayu PKM itu.

Sebenarnya sudah terlalu lama tokoh-tokoh Melayu PKM itu dicap sebagai "pengganas komunis" atau terroris dan tidak ramai orang yang mengiktiraf mereka sebagai pejuang kemerdekaan. Cap sebagai "pengganas komunis" itu wajar ditinjau kembali dan dipersoalkan kewajarannya.

Perjuangan mereka untuk membebaskan negara ini dari cengkaman penjajah dengan mengangkat senjata sebenarnya tidaklah begitu berbeza dengan apa yang dilakukan oleh pejuang kemerdekaan di Indonesia, di Vietnam, di Kemboja, di Burma dan sebagainya, kerana itulah tuntutan sejarah dan realiti semasa pada waktu itu

Mereka dicap sebagai pengganas, kerana sejarah dan nasib sudah menentukan bahawa mereka adalah golongan yang kalah. Sekiranya mereka golongan yang menang, tentulah sejarah akan mengiktiraf mereka sebagai golongan pemegang kuasa dan pemerintah yang sah.

Mudah-mudahan dengan pandangan dan pengiktirafan yang jujur oleh seorang sasterawan negara itu, peranan tokoh Melayu PKM sebagai pejuang kemerdekaan akan diiktiraf dan dihargai oleh masyarakat kita pada keseluruhannya.

No comments: