Saturday, October 4, 2008

Keadaan kesihatan bekas tokoh Melayu PKM

Barangkali ketika kita menyambut Aidilfitri tahun ini, ada antara kita yang berminat untuk mengetahui bagaimanakah keadaan kesihatan dan kehidupan bekas tokoh "komunis Melayu" pada masa ini.

Selepas termeterainya Perjanjian Perdamaian antara PKM dengan kerajaan Malaysia pada tahun 1989 yang lalu, salah seorang daripada mereka, iaitu Ibrahim Chik, pulang ke Pahang, sementara 4 orang lagi (Rashid Maidin, Abdullah C.D., Abu Samah Mohd.Kassim dan Suriani) memilih tinggal di Selatan Thailand, dan tidak pulang ke Malaysia.

Mereka berlima ialah tokoh Melayu yang pernah menjadi ahli Jawatankuasa Pusat PKM.

Setelah Rashid Maidin meninggal dunia beberapa tahun yang lalu tinggallah 4 orang sahaja bekas tokoh komunis Melayu yang masih hidup. Semuanya kini telah mencecah umur 80-an.

Mengikut maklumat terkini yang saya ketahui, antara 3 orang yang tinggal di Selatan Thailand, Abdullah C.D. dan isterinya Suriani masih sihat walafiat. Hanya Abu Samah sahaja yang agak uzur, kerana mengidap penyakit kencing manis, jantung dan mungkin juga darah tinggi.

Keadaan kesihatan Ibrahim Chik tidak saya ketahui dengan pasti. Akan tetapi, saya harap beliau dalam sihat walafiat, walaupun tentunya sebagai orang yang sudah tua, beliau beransur uzur, khasnya pendengaran beliau memang sudah lama tidak begitu baik.

Ada seorang lagi seorang bekas tokoh "bekas komunis" Melayu, tetapi tidak pernah memegang jawatan tinggi sebagai ahli Jawatankuasa Pusat, iaitu Shamsiah Fakeh. Beliau yang kini menetap di Kuala Lumpur sebenarnya sudah lama uzur.

Tentang Shamsih Fakeh, sebenarnya ada sedikit kekeliruan yang mungkin perlu saya betulkan. Mungkin banyak orang yang menganggap bahawa Shamsiah dahulunya adalah seorang tokoh besar dalam PKM.

Anggapan itu sebenarnya tidak tepat. Shamsiah memang pernah menjadi wakil PKM di China dan di Indonesia, tapi dia bukan tokoh besar PKM, kerana dia tidak pernah memegang jawatan tinggi dalam parti itu.

Shamsiah sebenarnya menjadi "besar" dan terkenal kerana dia adalah bekas Ketua AWAS. Walaupun dia ikut berjuang dalam hutan di Pahang dan di Selatan Thailand, tetapi tidak lama, dan dia tidak meningkat menjadi salah seorang pemimpin penting PKM.

1 comment:

Andin Salleh said...

Salam,

Shamsiah Fakeh telah meninggal dunia baru-baru ini.

Dia patut diingati terutamanya sebagai bekas Ketua AWAS Malaya, kerana dia tidak pernah menjadi "pemimpin" komunis dan bukan tokoh PKM.